Kaum Gagah Perkasa


31.Ogos.2009.


Hari ini adalah ramadhan pertama saya berbuka bersama keluarga, rasa bahagia tika bersama. Namun masa terlalu mencemburui saya, harus pulang ke kampus pada malam itu juga. Seusai ayah menyudahkan solat isya'nya secara berjamaah, saya dihantar oleh ayah ke stesen komuter Klang.

Dari stesen komuter Klang ke KL Central, alhamdulillah, komuter tidak terlalu padat dan saya mendapat tempat duduk yang agak selesa. Mata dan badan terlalu letih, dan saya pun terhangguk-hangguk mengikut irama mengantuk yang tak dapat ditahan.

Namun, panas yang disangkakan berpanjangan rupanya hujan di pertengahan. Pertukaran stesen dari KL Central ke UKM rupanya terlalu padat dengan manusia, dan saya tidak lagi berpeluang untuk merehatkan kaki dan mata yang keletihan. Sepanjang di dalam komuter yang agak padat itu saya melihat satu suasana biasa yang saya rasakan agak tidak biasa dari segi nilai dan norma masyarakat melayu yang sangat menghormati wanita dan mengamalkan budaya sopan santun. Kebanyakan kerusi-kerusi di dalam komuter tersebut rata-rata di huni oleh kaum gagah perkasa yang tenaganya dua kali ganda atau lebih dari wanita. Alahai...lutut saya sudah mulai melemah...hati berkata, wahai diri sabarlah...

Dan hati saya berdetik, jika zaman ini Hang Tuah masih wujud, pasti saya dan wanita-wanita lain yang sedang berdiri sudah di beri penghormatan dan bangku-bangku tersebut hanya dipenuhi oleh kaum wanita...

Namun, hati berkata lagi, usahakanlah untuk berprasangka yang baik-baik kepada kaum gagah perkasa ini bahawa mungkin mereka juga keletihan dan baru pulang dari tempat yang jauh, atau lutut dan kaki mereka sakit dan tidak boleh berdiri lama...

Dan bermulalah pertarungan antara nilaian dan prasangka....
0 Responses