6:12 AM
|
by Khadijah
pungguk menatap bulan
hatinya girang
biar bulan jauh diawan
biar tak dapat dipegang..
pungguk menatap bulanmerisik khabar dalam diambulan menghilang dan menghilangterbenam dalam awanpungguk pun kerinduanalam memerhati mohon pengertianmalam keanehan membuah pertanyaanpungguk, ada apa pada bulan?bulan itu penuh lubang-lubangbulan itu cahayanya pinjamanbulan itu hanya khayalanbulan itu....dan..lama pungguk kebisuan..sambil menatap bulanpungguk tersenyum rawanbicara pungguk tanpa keluhanpungguk tak minta dikasihanpungguk tak minta balasancinta pungguk tak perlu alasanrindu pungguk bukan penantiansayang pungguk penuh keikhlasanpungguk dan bulanmasing-masing makhluk Tuhanalam keharuan..kisah pungguk menitiskan hujancinta pungguk dijadikan teladanMalam bertegas dengan bantahanbulan dikejauhan perlu dilupakanbukankah Tuhan ciptakan semuanya berpasanganbangkit pungguk, jangan terus berkhayalanjangan terus bertepuk sebelah tanganpungguk disentap dilema kerasukandilema pungguk membuah sebuah pertanyaanperlukah bulan dilupakan?Wahai bulantolong berikanku jawapan......................................................
Ketika saya melihat bulan di jendela, saya terus teringat pada kisah pungguk dan bulan yang diabadikan dalam sebuah peribahasa. Suatu ketika dahulu, saya pernah menggunakan peribahasa ini tanpa memahami maksud tersirat disebaliknya. Alhamdulillah, hari ini Tuhan mengizinkan terciptanya sebuah ilham mengungkap kefahaman saya sebagai seorang makhluk Tuhan yang biasa. Terima kasih Allah. Terima kasih juga pada pungguk dan bulan yang pernah membuah sebuah kenangan dalam diari usang sang alam.
Hanya menulis, kamu yang menafsirnya:
Khadijah Abd Latip
1:50 a.m. 30.September.2009
Kolej Pendeta Za'ba.UKM,Bangi.
4:22 PM
|
by Khadijah
Salam Aidilfitri buat yang mengenali diri ini
maaf dipohon untuk segala dosa
2:34 PM
|
by Khadijah
sedang aku terleka pada sebuah fatamorgana
banyaknya ibadah
aku kan jadi mulia di mataNYA
terlupa aku pada rahmatNYA
bahwa bukan amalan yang membawaku ke syurga
tetapi sebuah keikhlasan tak terkira
aku meminta-minta
pada suatu taubat karunianya
bisakah segala dosaku terampun olehNYA
9:25 AM
|
by Khadijah
02.September.2009.
Buku hikayat Hang Tuah dibuka, mukadimahnya di baca..
Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Kasturi,
Berlima Hang Lekiu dan Hang Lekir,
Warisan pusaka zaman bahari,
Hikayat ternama bawa berfikir.
8:21 AM
|
by Khadijah
01.September.2009
Saya mulai menjelajahi blog Dr.Mawar Shafei, dan saya ketemu idea rakan-rakan (SKMM 2083) untuk membuat cerpen tentang berbagai tema yang menggunakan Hang Tuah sebagai model. Antaranya adalah cikgu Karuna yang seperti diceritakan oleh Dr.Mawar ingin mencipta Hang Tuah sebagai saudagar rempah. Menarik juga ideanya itu ya...tak dapat saya bayangkan bagaimana Hang Tuah nantinya digambarkan sebagai saudagar rempah di dalam cerpen cikgu Karuna..
Akal dan fikiran telah lama saya bawa jelajahi untuk mencari sedikit idea untuk menulis cerpen yang menggunakan Hang Tuah sebagai model. Satu persatu saya menyemak akal cuba menjelajahi dunia fantasi dan khayalan...
Dan akhirnya saya ketemu dengan satu tema yang amat saya sukai...CINTA..
Hang Tuah dengan tema CINTAnya amat sinonim bukan?, ....apa pendapat anda?
2:20 AM
|
by Khadijah
31.Ogos.2009.
Hari ini adalah ramadhan pertama saya berbuka bersama keluarga, rasa bahagia tika bersama. Namun masa terlalu mencemburui saya, harus pulang ke kampus pada malam itu juga. Seusai ayah menyudahkan solat isya'nya secara berjamaah, saya dihantar oleh ayah ke stesen komuter Klang.
Dari stesen komuter Klang ke KL Central, alhamdulillah, komuter tidak terlalu padat dan saya mendapat tempat duduk yang agak selesa. Mata dan badan terlalu letih, dan saya pun terhangguk-hangguk mengikut irama mengantuk yang tak dapat ditahan.
Namun, panas yang disangkakan berpanjangan rupanya hujan di pertengahan. Pertukaran stesen dari KL Central ke UKM rupanya terlalu padat dengan manusia, dan saya tidak lagi berpeluang untuk merehatkan kaki dan mata yang keletihan. Sepanjang di dalam komuter yang agak padat itu saya melihat satu suasana biasa yang saya rasakan agak tidak biasa dari segi nilai dan norma masyarakat melayu yang sangat menghormati wanita dan mengamalkan budaya sopan santun. Kebanyakan kerusi-kerusi di dalam komuter tersebut rata-rata di huni oleh kaum gagah perkasa yang tenaganya dua kali ganda atau lebih dari wanita. Alahai...lutut saya sudah mulai melemah...hati berkata, wahai diri sabarlah...
Dan hati saya berdetik, jika zaman ini Hang Tuah masih wujud, pasti saya dan wanita-wanita lain yang sedang berdiri sudah di beri penghormatan dan bangku-bangku tersebut hanya dipenuhi oleh kaum wanita...
Namun, hati berkata lagi, usahakanlah untuk berprasangka yang baik-baik kepada kaum gagah perkasa ini bahawa mungkin mereka juga keletihan dan baru pulang dari tempat yang jauh, atau lutut dan kaki mereka sakit dan tidak boleh berdiri lama...
Dan bermulalah pertarungan antara nilaian dan prasangka....
1:05 AM
|
by Khadijah
30.Ogos.2009.
Hari ini bermulanya kembara saya mencari sebuah kitab yang bertajuk Hikayat Hang Tuah. Ah, akhirnya Tuhan izinkan juga untuk saya memilikinya, walaupun dalam keterpaksaan menerbangkan beberapa keping wang ringgit, tetapi saya rasakan sangat berbaloi untuk menambah koleksi buku yang ada. Suatu hari nanti saya berhasrat untuk punya sebuah perpustakaan peribadi di rumah milik sendiri...
Saya membawa bersama beberapa buah buku lain keluar dari gedung buku MPH,bersama hati yang girang sudah dapat apa yang dihajati. Antara buku yang di beli adalah dari penulis dan dai'e dari Indonesia Aa Gym, Saya tidak Mahu Kaya Tetapi Harus Kaya teristimewa buat bunda dan ayahanda tercinta, dan tajuk Ingat Tuhan sampai Mati dari penulis yang sama untuk saya sendiri, buku La Tahzan hadiah buat kakak tersayang, dan novel sesejuk maaf di kalbu buat adik Aishah bersempena hari lahirnya, buku-buku lain pula adalah dari penulis Pahrol Mohamad Juoi, Dilema Melayu-Islam, kurang fikir atau kurang zikir?, dan kitab tajwid Al-Matien yang telah lama dalam simpanan untuk dihadiahkan kepada si bongsu syakirah dan kakaknya Ummu Kalthum.
Kembara mencari kitab-kitab tersebut berakhir dan menjelang malam hari, saya akhirnya ketemu dengan mereka yang saya sayangi. Melihat senyuman mereka, rasa bahagia menyelinap di hati. Hati berdetik..terima kasih Tuhan...
12:44 AM
|
by Khadijah
29.Ogos.2009.
Kesibukan melanda, pada pagi harinya saya mengikuti seminar latihan ilmiah untuk program Antropologi dan Sosiologi, dan pada petang harinya pula adalah pembentangan proposal dari para pelajar.
Tidak sempat pembentangan saya dihabisi, saya disergah oleh salah seorang pensyarah, "tajuk ini pelajar saya yang lepas pernah lakukan" Aduhai hati..sabarlah..
Pulang ke bilik, sunyi melanda, sahabat-sahabat pulang ke kampung masing-masing sempena cuti merdeka. Rindu suara cik zi yang macam mak tak rasmi saya dan usikan cik yam yang nakal. Teman-teman ini akrab semenjak di tingkatan 6 lagi dan akhirnya dipertemukan di Universiti dan ditakdirkan untuk terus menjalin ukhuwah sejati, sama seperti persahabatan Hang Tuah dan rakan-rakannya mungkin.....
Dalam kepenatan, akhirnya saya bermimpi................